Saturday, December 11, 2010

WARKAH BUAT AYAHANDA


Ayahanda Tuan-Tuan Guru

Saya berasa bangga menjadi salah seorang ahli parti PAS iaitu sebuah parti politik terulung tanahair. Sifat perjuangannya yang sangat kental menjadikan saya sangat teruja. Kebolehan pemimpinnya memimpin parti sangat saya kagumi. Bermula dengan Dr.Burhanuddin Al Helmy, Datuk Asri Muda, Dato’Fadhil Mohd Nor dan kini Tuan Guru Datuk Seri Abd Hadi Awang. Mereka disokong pula oleh saf kepimpinan yang sangat komited kepada perjuangan yang tidak mudah goyah walau apapun yang mendatang. Itulah kelebihan yang ada pada PAS dan amat dicemburui oleh parti lawan.

Seteru-seteru PAS duduk berfikir siang dan malam bagaimana mahu menghancurkan kehebatan PAS lalu memberi kelebihan kepada mereka untuk memanjangkan tali pemerintahan yang penuh ranjau. Mereka menyedari bahawa kesedapan mereka memerintah bumi Malaysia hanya berupaya direntap oleh parti PAS sahaja sedang parti-parti lain hanya sebagai perancak keadaan dan tidak lebih daripada itu.

Malangnya di akhir-akhir ini Ayahanda Tuan-tuan Guru dan saf kepimpinan PAS pada pandangan saya sudah agak terpalit juga dengan permainan kotor musuh-musuh PAS. Ayahanda semua agak mudah melatah dengan tusukan mereka yang memang sudah maklum kejahatannya. Inilah yang memanggil saya menulis di ruangan termahal ini. Persoalannya kenapa jadi begini? Ke manakah hilangnya kehebatan Ayahanda-ayahanda semua. Di manakah perginya sifat kesepakatan yang amat jitu di kalangan rakan-rakan ayahanda selama ini? Kenapa mudah sangat ayahanda mempercayai dan akur dengan kehendak musuh kita dalam usaha mereka memecah belah perpaduan dan menyingkirkan permata-permata berharga kita selama ini? Permata-permata inilah yang menyerikan parti kita. Teguran dari luar untuk kebaikan kita juga dilayani ayahanda secara bersahaja dan tidak menampakkan kegembiraan.

Saya amat khuatir jika fenomena ini tidak dibendung dan dicantas awal-awal lagi akan tiba suatu masa Ayahanda akan melihat parti kita akan berpecah belah dan hancur berkecai di makan fitnah. Ketika itu berhasillah adu domba musuh kita selama ini dan mereka akan mencengkam kita dan rakyat semua dengan lebih dahsyat lagi. Sebelum ayahanda semua pergi pastikanlah kami semua di landasan yang betul dan tetap komited kepada perjuangan PAS. Kami redha biarpun bilangan kami sedikit tetapi kami tetap berkualiti dan istiqamah dalam perjuangan. Sayang kami kepada perjuangan Islam tiada bandingan hatta dikalangan kami sanggup berkorban apa saja, nyawa, harta dan keluarga tercinta.

No comments:

Post a Comment